PRK Cameron Highlands: PH Sukar Menang – Wan Azizah

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengakui peluang kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini adalah sukar memandangkan Barisan Nasional (BN) memainkan isu sentimen tempatan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengakui PRK itu dilihat sebagai pertandingan yang sengit disebabkan tindakan pihak pembangkang (BN) telah meletakkan Orang Asli sebagai calon.

“Kita sentiasa menghadapi kesukaran sebelum kita masuk ke dalam kerajaan, tetapi lebih sukar sekarang kerana mereka (BN) menggunakan sentimen tempatan. Saya telah bertemu dengan mereka (suku Semai) baru-baru ini. Sudah tentu kesukaran adalah sebahagian daripada cara anda perlu bertanding.

“Dan apa yang boleh kita tawarkan sekurang-kurangnya mereka mengundi kita dan ini sudah cukup bagus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Malaysia Positive 2019 di sini hari ini.

Dr. Wan Azizah yang juga Presiden PH berkata demikian ketika diminta mengulas peluang calon PH, M.Manogaran untuk memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon BN, Ramli Mohd Nor dan dua lagi calon bebas. – BERNAMA