PRK: Wan Azizah Ambil Cuti Turun Kempen

KUALA LIPIS – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengambil cuti dan turun berkempen sebagai hanya seorang pemimpin politik di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau juga turun berkempen menggunakan kenderaan sendiri sepanjang sehari berkempen di Parlimen berkenaan.

Beliau berkata, tindakannya itu antara lain sebagai menghormati peraturan Pilihan Raya untuk tidak menggunakan aset kerajaan ketika berkempen.

“Kita memang cuba nak elakkan semua kontroversi ini kerana ini salah satu prosedur operasi standard pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan makan tengah hari bersama penduduk Kampung Keledek, antara perkampungan di bawah Parlimen Cameron Highlands.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang masing-masing turut mengambil cuti. – BERNAMA

Loading...