“Politik Sampah Berleluasa” – Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berang dengan penyebaran satu artikel palsu yang mendakwa beliau mengkritik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau mendakwa penyebaran artikel itu memperlihatkan musim politik fitnah yang sedang berleluasa pada waktu ini dengan artikel yang digambarkan seperti penulisan sebuah portal berita.

“Musim politik fitnah semakin hangat. Yang terbaru adalah ‘artikel’ kononnya saya buat komen tentang Tun Dr. Mahathir.

“Artikel tersebut ditulis dalam style berita portal. Namun tiada tajuk portal, tiada nama penulis, tiada pautan rujukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO menafikan sekeras-kerasnya artikel tersebut dan menegaskan beliau tidak pernah membuat kenyataan tersebut ke atas Mahathir.

Beliau turut memaklumkan akan membuat laporan polis terhadap artikel palsu tersebut dan pihak yang `menyerang’ beliau berikutan artikel itu tanpa usul periksa.

“Dalam politik ada kawan, ada musuh. Kita tidak boleh harap semua suka atau menyokong kita. Tetapi dalam kita memusuhi orang, agak-agaklah sikit cara kita berpolitik.

“Takkan sampai sanggup buat fitnah macam ini. Kalau nak lawan, lawan dengan hujah. Lawan dengan tindakan demi rakyat. Tak payah nak main politik sampah macam ini,” tegasnya. – mynewshub.cc

Leave a Reply