Polis Kedah Buka 37 Kertas Siasatan PRU14

ALOR SETAR – Polis Kedah membuka 37 kertas siasatan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bermula dari hari penamaan calon pada 28 April lepas hingga hari pengundian pada 9 Mei lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kasim berkata dalam tempoh itu, sebanyak 171 laporan polis berhubung pelbagai kejadian turut dibuat.

“Daripada 37 kertas siasatan yang dibuka itu, sebanyak 19 adalah mengikut Kertas Enkuari Polis (KEP) berkenaan kesalahan dron dan insiden tidak dibenarkan mengundi, 11 kes berkaitan khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) dan dua kes dengan sengaja menyebabkan cedera mengikut Seksyen 323 KK.

“Selain itu adalah masing-masing satu kes membabitkan pencerobohan jenayah di bawah Seksyen 447 KK, Seksyen 506 KK iaitu ugutan jenayah, seksyen 505 KK (ugutan jenayah dengan sembunyi nama), Seksyen 435 KK (khianat dengan api), Seksyen 186 KK (menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas),” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata pada tempoh sama, polis turut melakukan tiga tangkapan iaitu dua lelaki berusia 24 dan 31 tahun bagi kesalahan berkaitan dron serta seorang lelaki berumur 46 tahun atas kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Beliau berkata semua kertas siasatan itu telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kedah bagi mendaparkan arahan lanjut.

“Polis Kedah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi serta rakyat Kedah yang selama ini memberi kerjasama yang baik sehingga dapat mengekalkan ketenteran awam di sepanjang musim PRU14 dan berharap ia berkekalan,” katanya.

Pada PRU14 lalu, Pakatan Harapan (PH) Kedah memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PAS dan Barisan Nasional masing-masing memenangi 15 dan tiga kerusi DUN.

Bagi kerusi Parlimen, PH menawan 10 kerusi Parlimen diikuti PAS tiga kerusi dan BN hanya dua kerusi Parlimen.

Pengerusi PH Kedah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik buat kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah pada 11 Mei lepas selepas kali pertama pada 2013. – BERNAMA

Loading...