Pilihan Raya Thailand Pada Awal 2019 – Junta

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha mengulangi semalam, pilihan raya negara itu akan berlangsung pada ‘awal 2019 dan bukan lebih awal’ ketika ratusan penunjuk perasaan berarak di ibu kota ini menuntut undian diadakan November ini.

Penunjuk perasaan, sesetengah mengibarkan bendera Thailand dan lain memegang sepanduk bersama kartun Prayuth sebagai Pinocchio berarak dari Universiti Thammasat ke pejabat Perdana Menteri di Rumah Kerajaan namun dihalang barisan polis berseragam hitam.

Sejumlah penunjuk perasaan menolak polis cuba memecahkan penghadang sementara kumpulan berasingan sekitar 80 orang berjalan ke arah ibu pejabat serantau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk ke pejabat Prayuth.

Rumah Kerajaan dan jalan sekitar diisytihar zon tidak boleh dilalui oleh polis untuk perarakan sempena empat tahun rampasan 22 Mei 2014 dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya tidak melanggar arahan junta membuat perhimpunan awam.

Prayuth, ketua tentera yang mengetuai rampasan 2014 menamatkan bantahan jalanan dan kebuntuan politik mengulangi semalam, tiada pilihan raya sehingga 2019.

Tentera berjanji mengembalikan pemerintahan demokratik namun berulang kali menangguhkan pilihan raya. – Reuters

Loading...