PH Yakin Bentuk Kerajaan Negeri Kedah

ALOR SETAR – Pakatan Harapan (PH) yakin dapat membentuk kerajaan negeri baharu di Kedah selepas memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 36 yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata keyakinan itu berdasarkan kelebihan kerusi yang dimenangi pakatan empat partim itu berbanding PAS yang memperoleh 15 kerusi DUN dan Barisan Nasional (B) yang meraih tiga kerusi.

“Dimaklumkan kerusi dimenangi Pakatan Harapan menggunakan logo PKR dapat 18 kerusi DUN daripada 36 kerusi DUN… kelihatan berbelah bahagi tetapi sebagai satu pasukan, Pakatan Harapan berhak menubuhkan kerajaan negeri Kedah,” katanya pada sidang media di sini, awal pagi ini.

Bagaimanapun Mukhriz berkata calon Menteri Besar hanya akan diumumkan selepas mendapat pelantikan daripada kepimpinan tertinggi pakatan itu yang merangkumi PKR, DAP, PPBM dan Amanah.

“Esok diundang Majlis Angkat Sumpah walaupun belum dapat mandat sepenuhnya daripada pemimpin tertinggi iaitu surat pelantikan daripada pemimpin tertinggi parti. Jadi, tidak boleh buat pengumuman siapa menjadi Menteri Besar setakat ini,” kata beliau.

PH yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi kerusi DUN Ayer Hangat, Kuah, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Derga, Bakar Bata, Kota Darul Aman, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Lunas, Kulim dan Gurun. – BERNAMA

Loading...