PH Tak Sokong Penggelapan Kandungan Berita

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menyokong penggelapan kandungan berita, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata dasar yang diamalkan oleh PH ialah komited kepada kebebasan media.

“Kami tidak menggalakkan atau menyokong penggelapan kandungan berita. Ini sesuatu yang kerajaan sebelum ini lakukan dan kami tidak menyokongnya.

Anggota parlimen Puchong itu merujuk kepada dakwaan oleh seorang menteri Kabinet Barisan Nasional Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada Perhimpunan Dayak yang dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini hari ini bahawa RTM tidak menyiarkan berita mengenai Sarawak sejak PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

“Beliau (Abdul Karim) dialu-alukan untuk menulis kepada saya mengenainya secara rasmi jika beliau mahu, dan jika beliau berbuat demikian, saya pasti akan mengkajinya,” kata Gobind Singh menerusi catatan dalam laman Twitter beliau, malam ini. – BERNAMA