ALOR SETAR – Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk kerajaan negeri baharu di Kedah berikutan kedudukannya yang kukuh apabila memenangi 18 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Rabu lepas.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata jumlah kerusi yang dimenangi PH adalah melebihi 15 kerusi yang diperoleh PAS selain tiga kerusi yang diraih BN.
Selain itu, katanya, PH lebih sesuai menjadi kerajaan negeri Kedah kerana ia selari dengan kerajaan Persekutuan yang kini ditadbir PH, dalam usaha memastikan urusan pentadbiran dan peruntukan kewangan berjalan lancar.
“Kami mendapat mandat daripada kepimpinan tinggi Pakatan Harapan. Parti kami sama dengan parti kerajaan yang mentadbir Putrajaya…oleh itu, adalah lebih baik Kedah tidak ditadbir pembangkang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Mukhriz yang juga Pengerusi PH Kedah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit di sini. – BERNAMA