Pertunas Bantah Tuntutan HINDRAF, Pertahan UiTM

KUALA TERENGGANU – Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas) membantah tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mahu Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut dibuka untuk semua kaum terutama kaum India daripada golongan B75.

Presidennya, Amir Hakimin Che Razali berkata semua pihak perlu faham, UiTM diwujudkan supaya anak Melayu dan Bumiputera dapat melangkah ke Universiti dan memperbaiki hidup mereka.

“UiTM ini wujud untuk merapatkan jurang ekonomi bumiputera agar dapat bersaing dengan bangsa lain di Malaysia. Ia dibentuk untuk membantu mobiliti sosial tanpa mengira latar belakang. Mereka yang ada di kampung paling tersorok hari ini pun berpeluang masuk ke UiTM, malah menerusi program khas turun padang dari kampung ke kampung adalah bertujuan mengubah destinasi anak bangsa.

“Penubuhan UiTM adalah berdasarkan Akta 173 mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Tujuan penubuhan ini untuk membantu bumiputera yang miskin dan tidak berkemampuan melanjutkan pendidikan tinggi. Ini disebabkan ramai orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hindraf menyerahkan memorandum mengandungi 25 tuntutan antaranya termasuk pengambilan 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

Mengulas lanjut Amir Hakimin berkata penubuhan UiTM adalah tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam semangat menjunjung satu daripada tujuh titah wasiat Raja-Raja Melayu.

“UiTM berjaya melatih tenaga mahir, tenaga profesional bumiputera sekali gus turut memenuhi strategi serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru. Tujuannya untuk membasmi kemiskinan, dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.

“Selain itu, penubuhannya mempercepatkan pro­ses penyusunan semula ma­syarakat Malaysia, untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum, mengikut fungsi ekonomi,” katanya yang mahu kerajaan terus mempertahankan UiTM dan mobilisasi sosial yang lain. – BERNAMA