Penyertaan Husam Dalam PAN Tak Jejaskan PAS

13
Ahmad Yakob Cadang Tokoh Lain Jadi Mursyidul Am PAS
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Penyertaan bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dalam Parti Amanah Negara (PAN) tidak menjejaskan PAS, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk menjangka kekuatan PAN terutama di Kelantan selepas penyertaan Husam dalam parti itu malam tadi.

“Nak tahu kuat ke, tak kuat ke, tunggu pilihan raya (umum) nantilah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kebangsaan 2016 di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh di sini, hari ini.

Husam, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor mengumumkan menyertai PAN pada satu majlis makan malam di Cyberjaya malam tadi.

Beliau dipecat keanggotaannya dalam PAS April lalu, susulan lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-UMNO.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu sedia berdepan dengan mana-mana parti termasuklah PAN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata keputusan Husam untuk menyertai PAN adalah pilihannya sendiri selepas dibuang daripada PAS sebelum ini. – BERNAMA