Penjawat Awam Perak Terima Bantuan RM1,000

IPOH – Kerajaan Perak hari ini mengumumkan bantuan kewangan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 seorang kepada 15,000 penjawat awam negeri termasuk pekerja kontrak dan sambilan.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata pembayaran bantuan kewangan itu dibuat secara berperingkat bermula hari ini.

“Kita telah setuju untuk memberikan RM1,000 kepada semua kakitangan awam. Saya harap dengan bonus berkenaan dapat kita menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah tetapi dalam masa yang sama diingatkan agar semua berjimat cermat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri bawah Pakatan Harapan (PH) memutuskan gaji asas menteri besar dan kesemua 10 anggota Exco akan dipotong 10 peratus, berkuat kuasa serta-merta.

Kesemua Exco termasuk menteri besar juga diminta melakukan pengisytiharan harta kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya penghujung bulan ini, katanya.

“Seperti kita telah janjikan dalam tawaran Pakatan Harapan sebelum ini, kesemua Exco telah diarahkan segera buat pengisytiharan harta. Ia akan diumumkan (kepada awam) bila ada keperluan. Potongan gaji itu juga dibuat bagi mengikuti langkah yang dibuat oleh kerajaan persekutuan,” katanya. – BERNAMA

Loading...