Pemilihan PKR: Azmin Timbang Selepas PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan hanya akan menimbang sebarang keputusan berhubung pertandingan dalam Pemilihan PKR selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini (4 Ogos).

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata buat masa ini pihaknya sedang menumpukan persiapan dan kempen PRK berkenaan.

Ditanya mengenai keputusan Naib Presiden Rafizi Ramli untuk bertanding jawatan timbalan presiden, Mohamed Azmin menegaskan mana-mana individu bergelar anggota parti berhak menawarkan khidmat dalam perjuangan PKR.

“Saya hormati keputusan beliau (Rafizi) dan ia satu proses demokrasi yang tak perlu dipandang pelik kerana ini kekuatan PKR. Saya memegang jawatan sekarang ini selama 20 tahun pun kerana pertandingan (dalam pemilihan parti).

“Saya tak pernah diberi jawatan percuma dan itu sebenarnya perkukuhkan lagi peranan kita dalam parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kempen calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada PRK tersebut di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Baru-baru ini, Rafizi mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu, bulan depan. – BERNAMA