Pemberian Peruntukan Ditambah Baik & Lebih Sistematik

MELAKA — Pemberian peruntukan kepada semua persatuan dan pertubuhan sukan di negeri ini akan ditambah baik dengan lebih sistematik bagi memastikan semua agensi mendapat manfaat secara sama rata, Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu hari ini.

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh) berkata perkara ini penting bagi memastikan semua persatuan dan pertubuhan sukan mendapat maklumat lebih awal mengenai jumlah peruntukan yang disediakan untuk mereka.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri melihat sistem pemberian peruntukan kepada persatuan sukan tidak dilaksanakan dengan berkesan sehingga mematahkan semangat para atlet untuk berbakti kepada negeri.

“Contohnya, persatuan mohon peruntukan RM1 juta setahun tetapi kita faham Kerajaan Negeri tidak mampu, lalu menjanjikan RM100,000 tetapi bantuan itu tidak diterima,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Gue Teck (PKR-Klebang).

Gue ingin tahu mengenai langkah diambil Kerajaan Negeri bagi memastikan atlet negeri ini tidak berhijrah keluar apabila insentif diberikan Kerajaan Negeri kepada persatuan dan pertubuhan sukan di Melaka.

Terdahulu, Kerk menjawab soalan lisan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) mengenai jumlah insentif bulanan yang diberikan kepada persatuan sukan dengan memaklumkan, tiga program di bawah Kerajaan Negeri menerima insentif antara RM150 hingga RM500 sebulan iaitu program emas, Sukan Malaysia (Sukma) dan program khas Sukma. – BERNAMA

Loading...