Pembangkang Pelawa Kerjasama Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Pembangkang menawarkan kerjasama kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melunaskan dendam beliau menjatuhkan pucuk pimpinan UMNO akibat disingkirkan daripada jawatan parti dan Kabinet.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku pakar propaganda pembangkang, Rafizi Ramli berkata, beliau mengalu-alukan Muhyiddin menerima tawaran tersebut kerana ia dapat membantu pembangkang menukar sistem pemerintahan negara ini.

Jelas beliau, pembangkang melihat Muhyiddin mempunyai agenda reformasi yang diketengahkan oleh PKR selama ini.

“Saya hulurkan persahabatan kepada sesiapa yang bersetuju dengan agenda reformasi yang kami bawa. Keutamaan sekarang ialah menjana kekuatan untuk menuntut reformasi yang menyeluruh dalam sistem sekarang.

“Saya alu-alukan Muhyiddin bersama-sama gerakan yang mahukan perubahan itu dan saya hulurkan persahabatan supaya semua pihak dapat menyumbang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

DAP sebelum ini pernah juga mengumumkan parti itu akan mengadakan kerjasama dengan Muhyiddin bagi menjatuhkan pucuk pimpinan UMNO.

Rafizi dalam pada itu mendakwa beliau berasa sedih membaca kenyataan Muhyiddin berhubung tindakan yang dikenakan keatasnya oleh UMNO.

Beliau membayangkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti akan mengambil kesempatan daripada perkembangan baharu dalam UMNO tersebut untuk mempelawa Muhyiddin bekerjasama.

“Ini untuk membawa semua pihak di dalam satu gerakan besar menuntut perubahan dan melaksanakan idea reformasi yang beliau (Anwar) perjuangkan selama ini,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR sedang merengkok dalam Penjara Sungai Buloh kerana didapati salah oleh mahkamah meliwat seorang lelaki lain beberapa tahun lalu. – mynewshub.cc

Loading...