Pembangkang Bantah Pelantikan Mohamad Ariff

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker yang baharu.

Memulakan bantahan itu adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyyudin Hassan, yang meminta ‘point of order’.

Beliau mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak mematuhi syarat pelantikan Speaker kerana tidak mengusulkan nama calon Speaker dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan Parlimen bermula.

Kekecohan itu mengakibatkan hampir semua Ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak berpuas hati terhadap pelantikan itu.

Kelihatan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakal kekal di dalam Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, tindakan membantah dan keluar dewan oleh kumpulan Ahli Parlimen pembangkang tidak memberi kesan kepada pelantikan Mohamad Ariff sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Ketika kekecohan berlaku, Dr Mahathir tidak menghiraukan bantahan itu dan terus membaca usul pelantikan Mohamad Ariff sebagai calon Speaker.

Usul itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohamad Ariff terus dilantik sebagai Speaker diikuti majlis mengangkat sumpah. – BH ONLINE