Pasport Tengku Adnan Dikembalikan Sementara

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya untuk membolehkan beliau mengunjungi anaknya di Australia selain menghadiri mesyuarat perniagaan di Indonesia.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Tengku Adnan supaya pasportnya dikembalikan selepas mendengar penghujahan daripada peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, dan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Hakim memerintahkan supaya pasport itu dikembalikan berkuat kuasa hari ini dan diserahkan semula kepada mahkamah sebelum 28 Februari tahun ini.

“Anak guam saya mahu mengunjungi dua anaknya masing-masing berumur 18 dan 13 tahun yang berada di Australia, terutamanya anak perempuan bongsu yang baru mula bersekolah pada 30 Januari,” kata Hock Chuan.

Beliau turut berhujah anak guamnya perlu menghadiri beberapa mesyuarat perniagaan atas kedudukan beliau sebagai anggota lembaga pengarah atau pemegang saham yang dijadual diadakan di Indonesia. – BERNAMA

Loading...