PAS Bergabung Dengan Parti Ikatan Untuk Hadapi PRU 14

KUALA LUMPUR – PAS hari ini mengumumkan permuafakatan baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun nama bagi permuafakatan itu belum diputuskan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sebuah sekretariat akan diwujudkan antara PAS dan Ikatan yang disertai kepimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk merangka dan berbincang agenda kerjasama berkenaan.

“Kita tidak mahu pakatan pembangkang yang bertindak secara ekstrem dan menyusahkan rakyat kerana kita dapati membangkang dengan cara berkenaan tidak boleh selesaikan masalah.

“Jika mahu membangkang, bukanlah secara melulu, perlu disertai nasihat, kemukakan cadangan yang baik… apa sahaja perkara baik yang kerajaan lakukan kita akan sokong, yang tak baik kita akan nasihat… itu langkah kita,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman kerjasama itu di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, serta barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan.

Ketika ditanya kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat di Selangor, Abdul Hadi berkata ia masih berjalan seperti biasa.

Beliau turut mengalu-alukan parti-parti politik lain yang menerima konsep tersebut untuk menyertai permuafakatan itu.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata hubungan baharu itu dapat mengukuhkan agenda politik yang lebih terbuka, matang dan sejahtera.

Beliau menolak dakwaan Ikatan sebagai parti ‘setahun jagung’ yang mahu menumpang populariti PAS, sebaliknya menganggap PAS sebagai parti tunjang yang sama kuat dengan UMNO untuk menyelesaikan isu-isu rakyat dan negara.

“Kita bukan nak lawan kerajaan bermati-matian, bukan juga nak lawan dengan Pakatan bermati-matian.. kita hanya mahu setiap masalah rakyat diselesaikan dengan cara baik,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply