PAS Tidak Lagi Boleh Diharap – Kit Siang

KUALA LUMPUR – DAP membayangkan PAS tidak lagi boleh diharapkan oleh mana-mana pihak untuk membawa perubahan di Malaysia.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa masa depan negara kini kononnya bergantung kepada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS cuma menjadi satu sejarah disebabkan PAS melanggar prinsip bersama Pakatan Rakyat terutama dalam isu hudud dan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Malah, Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) enggan menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Kit Siang meminta parti gabungan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAN supaya membuat pelan strategi untuk mencapai impian pembangkang.

Pakatan Rakyat yang ditubuhkan sejak tahun 2008 bagi menentang Barisan Nasional (BN) berkubur pada Ogos lalu disebabkan pergeseran antara parti-parti gabungannya.

Perselisihan berlaku disebabkan PAS enggan tunduk kepada desakan pemimpin DAP dan PKR supaya tidak meneruskan rancangan undang-undang hudud di Kelantan.

Berikutan itu, beberapa bekas pemimpin PAS pro-Pakatan Rakyat bertindak meninggalkan parti itu dan menubuhkan sebuah parti Islam baharu, PAN.

DAP, PKR dan PAN kemudiannya membentuk Pakatan Harapan dalam usaha merampas kuasa daripada BN. – mynewshub.cc