Parti Pembangkang Mahu Bekerjasama Dengan Tun M

KUALA LUMPUR – Parti-parti pembangkang menyatakan kegembiraan dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya terus menerus memberi tekanan ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, parti pembangkang berhasrat mengadakan kerjasama bersyarat dengan Mahathir dan kumpulannya berikutan Mahathir dan pembangkang kini mempunyai agenda yang sama.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Sany Hamzan berkata, Pakatan Harapan perlu segera membuat kerjasama bersyarat dengan pasukan Mahathir bagi menentang kerajaan.

“Agar gelombang yang telah disemarak oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung siasatan terhadap 1MDB mampu digarap semaksimum mungkin.

“Terma-terma kerjasama ini haruslah dalam ruang lingkup untuk menyelamatkan negara dengan syarat yang kuat untuk Mahathir tidak akan mengulangi kezaliman politik yang telah beliau legasikan sepanjang 22 tahun memerintah negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sany berkata, tindakan Mahathir sanggup mengetepikan sengketa lama dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk memberi tekanan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sesuatau yang menarik untuk parti pembangkang.

“Walau mungkin sukar, kita juga percaya bahawa melalui medium konsultasi, tiada masalah atau konflik yang tidak mampu dirungkai,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Loading...