Parlimen Bakal Punyai Pusat Asuhan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat asuhan kanak-kanak akan diwujudkan di Parlimen bagi membantu dan memudahkan tugasan anggota Parlimen serta warga kerja yang bertugas semasa Parlimen bersidang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, pusat asuhan kanak-kanak tersebut dijangka beroperasi pada tahun ini.

“Kami telah kenal pasti tempatnya dan akan diubah suai dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Rantau Asia ‘Kepimpinan Politik Wanita: Mewujudkan Perubahan Positif’ di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Katanya, keputusan untuk menwujudkan pusat asuhan kanak-kanak itu adalah selaras dengan dasar kerajaan bagi menggalakkan penyertaan lebih aktif kaum wanita dalam politik, pembuat dasar dan tenaga kerja.

Sementara itu, mengulas perkara sama dalam sidang akhbar selepas melancarkan program tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, pusat penjagaan berkenaan juga bakal memanfaatkan pengamal media wanita yang mempunyai anak kecil tetapi terpaksa bertugas melebihi tempoh biasa semasa persidangan.

“Jika saya sendiri berdepan masalah penjagaan anak, kalian juga berdepan masalah sama, Justeru kita mulakan di Parlimen. Ia perlu bermula di sini (Parlimen),” katanya. – BERNAMA