Noh Omar Lepaskan Jawatan Pengerusi UMNO Selangor

TANJONG KARANG – Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, hari ini mengumum untuk melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang disandangnya sejak 2013.

Katanya, beliau membuat keputusan itu sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk UMNO Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya akan memaklumkan keputusan melepaskan jawatan ini kepada Presiden UMNO yang baharu nanti.

“Walaupun Presiden baharu mungkin mahukan khidmat saya di Selangor, saya tetap dengan keputusan untuk tidak memegang jawatan ini lagi.

“Biarlah muka baharu memimpin UMNO Selangor dan saya hanya meneruskan tugas menjaga bahagian (Tanjong Karang),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Noh menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang bagi penggal keenam berturut-turut.

Jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian itu pula diisi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak, selepas penyandangnya yang juga ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias mengumumkan tidak bertanding.

Selain itu, Ketua Wanita UMNO bahagian berkenaan, Datuk Habibah Mohd Yusof berjaya mempertahankan jawatan disandangnya selepas menewaskan Zainab Sidek.

Datuk Shahrizal Sahri dan Salbiah Saari pula masing-masing menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda serta Ketua Puteri UMNO bahagian itu. – BH Online

Loading...