Nilai Barang Rampasan Dibuat Oleh Pakar

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata nilai barang rampasan dalam siasatan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dibuat oleh pakar.

Sambil menyangkal dakwaan Najib bahawa nilai sebenar barang rampasan itu sebagai subjektif dan tidak realistik, beliau berkata pakar itu dilantik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan barang itu dinilai mengikut nilai harga semasa.

“Anggaran nilai barang rampasan itu adalah berdasarkan (penilaian) pakar yang tahu nilai barang tersebut.

Kita dibantu pakar yang arif tentang jenama barang rampasan dan pihak PDRM tidak terlibat dalam menentukan nilai barang itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat 2018 di Bukit Aman di sini hari ini.

Najib dalam satu temu bual dengan sebuah portal berita (Malaysiakini) semalam mendakwa nilai barang rampasan sebanyak RM1.1 bilion sebagai subjektif dan tidak realistik.

Dalam pada itu, berhubung permohonan Najib untuk melihat barang rampasan itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya tidak ada masalah jika ada keperluan untuk Najib berbuat demikian.

“Kalau ada keperluan kita akan benarkan,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh memaklumkan nilai barang rampasan di enam premis milik Najib pada 16 dan 17 Mei lalu bernilai sekitar RM900 juta ke RM1.1 bilion melibatkan barangan kemas, beg tangan mewah, jam tangan berjenama, cermin mata selain pelbagai mata wang asing. – BERNAMA