Nigeria Umum Perintah Berkurung Di Plateau

BAUCHI – Nigeria mengumumkan perintah berkurung di Plateau, di tengah negara itu semalam, selepas sekurang-kurangnya 70 maut dalam pertempuran membabitkan dua kumpulan petani, hujung minggu lalu.

“Perintah berkurung berkuat kuasa mulai jam 6 petang hingga 6 pagi bagi memastikan keamanan di kawasan terbabit dan pasukan polis serta lain-lain pihak keselamatan sudah dimaklumkan dan diarahkan berjaga-jaga sepanjang tempoh berkenaan,” kata Suruhanjaya Maklumat Plateau, Yakubu Dati kepada Reuters.

Insiden keganasan membabitkan dua kumpulan petani, dipercayai berpunca daripada masalah kekurangan tanah pertanian yang subur, sebelum mencetuskan pertempuran serta serangan balas yang sudah mengorbankan ratusan mangsa di kawasan tengah negara itu.

Masalah keselamatan turut menjadi masalah utama kepada Presiden Muhammadu Buhari yang bakal berdepan pemilihan semula pada Februari depan, yang sebelum ini berjanji untuk memastikan kestabilan serta keamanan di negara itu.

Sementara itu, di Jos, AFP melaporkan, kira-kira 86 terbunuh dalam pertempuran membabitkan membabitkan dua kumpulan petani di tengah Nigeria.

Pesuruhjaya Polis Jos, Undie Adie, berkata kira-kira 86 mangsa ditemui mati ketika pihaknya menjalankan operasi mencari di kawasan perkampungan Berom susulan pertempuran yang berlaku pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, enam mangsa disahkan cedera, manakala 50 rumah musnah terbakar dalam insiden itu.

“Mayat semua mangsa sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya kepada pemberita. – Reuters/AFP/BH ONLINE

Loading...