NGO Minta Mahathir Jangan Mohon Suaka Politik

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta supaya tidak memohon suaka politik di negara lain bagi menyelamatkan dirinya daripada skandal ketirisan wang negara sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, Mahathir perlu berdepan dengan siasatan skandal dagangan mata wang asing (Forex) berpuluh tahun lalu itu yang akan dikendalikan oleh satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“PMSP mahu Mahathir kekal berada dalam negara dan tidak berhajat cuba memohon suaka politik di negara lain untuk tujuan tertentu. Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri perlu berdepan dengan siasatan skandal Forex.

“Mahathir perlu hadir jika dipanggil oleh pihak RCI dan menjawab semua soalan yang ditanyakan panel suruhanjaya dan tidak mengelak dari disiasat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ramesh turut mengingatkan Mahathir pernah menyatakan kesediaannya membantu siasatan skandal itu kerana beliau merupakan Perdana Menteri pada ketika itu.

Justeru, beliau berharap Mahathir akan turut memberi jaminan tidak akan mohon perlindungan dari negara lain.

“Dalam hal ini, Mahathir sudah pasti orang yang paling penting kerana beliau jadi Perdana Menteru dari tahun 1981 sehingga tahun 2003 dan banyak keputusan penting pada ketika itu melibatkan diri beliau.

“Tambahan pula sebagai Perdana Menteri, Mahathir sudah pasti ada kawalan ke atas BNM dan agensi lain untuk mengelak daripada kerugian skandal berkenaan diketahui umum,” katanya.

Mahathir sejak berpaling tadah daripada UMNO gara-gara kepentingan peribadinya tidak dipenuhi kini bersengkongkol dengan pakatan pembangkang yang diketuai DAP bagi menumbangkan kerajaan Malaysia. – MYNEWSHUB.CC