Najib Cabar DAP, PKR Dedah Sumber Dana Politik

SEREMBAN – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan mencadangkan semula pengwujudan peraturan yang menghendaki parti politik mendedahkan senarai punca dana politik yang diterima mereka.

Perdana Menteri berkata cadangan peraturan itu yang bertujuan memastikan parti politik lebih telus sebelum ini telah dikemukakan untuk dijadikan peraturan namun ditolak oleh kepimpinan DAP sendiri.

“Memang presiden parti boleh cari wang (dana) untuk parti. Saya boleh terangkan (punca dana UMNO) dengan syarat pembangkang pun kena terangkan punca kewangan mereka.

“DAP perlu terangkan, PKR perlu terangkan daripada mana mereka dapat (dana). Saya boleh terangkan kalau mereka terangkan…sama-sama kita terangkan barulah adil,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Paroi di sini pada Sabtu.

Baca: Pembangkang Hipokrit Dana Derma Parti Politik

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau sering ‘diserang’ pembangkang berhubung punca dana UMNO, namun pihak tersebut sendiri yang sebenarnya enggan mendedahkan punca dana mereka.

Beliau turut mempersoalkan tindakan DAP yang menolak cadangan itu sebelum ini: “DAP yang tidak bersetuju. Kenapa? Ada Muslihat? Kena tak setuju apa sebenarnya punca?”.

Cadangan mewujudkan peraturan itu sebelum ini dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan mewajibkan parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing.

Ia dibuat agar ketelusan dapat diwujudkan dan masyarakat dapat tahu siapakah individu atau syarikat yang memberi sumbangan dana kepada parti terbabit.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam kenyataan berkata, DAP antara parti paling awal membantah cadangan itu kerana bimbang ia akan merugikan parti itu.

Abdul Rahman berkata semasa SPRM mula-mula mencadangkan perubahan dari segi pembiayaan politik, Najib merupakan pemimpin politik pertama yang menyokong idea itu.

Malah Perdana Menteri mahukan ia dilaksanakan dengan segera serta dimasukkan ke dalam inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) namun DAP adalah paling pertama menolak cadangan tersebut.

Tindakan penolakan itu kerana parti cauvinis Cina itu bimbang pengundi Melayu Islam akan tahu siapakah orang perseorangan atau syarikat gergasi yang menyumbang dana kepada aktiviti politik DAP selama ini.

Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Seremban 2015 itu berlangsung di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan yang disertai ramai pemimpin tertinggi UMNO Negeri Sembilan

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza; Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad. – MYNEWSHUB.CC

Loading...