Musa Aman Angkat Sumpah Hari Ini?

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, hari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata pihaknya sedang melakukan persiapan bagi majlis itu.

“Ya, kami buat persediaan seperti biasa kalau beliau (Musa) hadir maka kita teruskan. Kami tidak tahu sama ada dia akan datang tetapi sudah dijanjikan hari ini, kalau tidak hadir kita buat lain kali,” katanya ketika dihubungi.

Musa yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah ADUN yang diadakan sebelum ini kerana menjalani rawatan perubatan di United Kingdom, pulang ke Malaysia dua hari lalu.

Berdasarkan perlembagaan negeri, Musa mempunyai tempoh sehingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN, iaitu tiga bulan selepas persidangan pertama DUN pada 11 Jun lalu.

Jika gagal mengangkat sumpah dalam tempoh itu, kerusi DUN Sungai Sibuga yang dipertahan Musa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) boleh diisytiharkan kosong.

Musa yang juga dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes ugutan jenayah ketika ini menerima rawatan susulan di sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya, Selangor.

Difahamkan, polis masih dalam proses mengambil kenyataan daripada Musa dan ia disahkan peguamnya, Amer Hamzah.

Pada Mei lalu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis terhadap Musa berhubung kes ugutan jenayah yang berkaitan dengan majlis angkat sumpah Ketua Menteri selepas PRU-14. – BH Online