MIC Perlu Calon Sesuai Untuk Menang PRU14

PUTRAJAYA – MIC perlu melakukan percaturan bijak untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memenangi hati pengundi dan menawan balik semua kerusi yang dirampas pembangkang pada PRU12 (2008) dan PRU13 (2013).

Parti komponen BN ketiga terbesar itu akur ia perlu menampilkan calon berintegriti, berkredibiliti dan disukai pengundi bukan sahaja untuk menang dalam PRU14 tetapi juga untuk terus kekal relevan mewakili masyarakat India dan suara rakyat Malaysia amnya.

Pada Perhimpunan Agung MIC ke-71 pada 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) sendiri berkata beliau mahu melihat MIC menyenaraikan calon yang boleh menang, berkredibiliti dan berkualiti, serta diterima oleh semua kaum.

Malahan, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam juga menegaskan calon yang berkredibiliti dan berkebolehan sentiasa menjadi prasyarat parti itu bagi memastikan kemenangan BN.

Para penganalisis politik turut berpendapat MIC hanya mampu memenangi empat daripada sembilan kerusi Parlimen pada PRU13 kerana sebahagian daripada calonnya kurang memberangsangkan dan sehinggakan anggota parti itu sendiri tidak senang dengan calon-calon itu.

MIC tidak lagi boleh membuat keputusan tidak tepat seperti itu apa lagi dalam PRU kali ini setiap undi adalah penting bagi menentukan BN mendapat majoriti dua pertiga.

MIC TIDAK MAMPU ULANGI KESILAPAN YANG SAMA

Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kegagalan MIC memenangi lima kerusi Parlimen (Subang, Teluk Kemang, Kapar, Kota Raja dan Sungai Siput) menunjukkan MIC perlu melihat kelemahan diri sendiri, dan bukannya kekuatan pihak lawan.

“Perlu ada calon yang berkebolehan. Apatah lagi, Kota Raja, Subang dan Kapar adalah kawasan pilihan raya di bawah Selangor, negeri yang dimenangi oleh pembangkang pada PRU 2008 dan 2013,” kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia ini.

Jadi, MIC kena berusaha lebih keras dan berfikir di luar kelaziman dalam sekurang-kurangnya memenangi Teluk Kemang dan Sungai Siput. MIC tidak boleh kehilangan kedua-dua kerusi itu buat kali ketiga,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Peningkatan prestasi akan memberikan harapan kepada MIC pada masa akan datang, dan kekalahan berterusan boleh menjejaskan motivasi penyokong, ahli dan kepimpinan parti komponen BN. Selain itu mungkin satu hari nanti MIC perlu menyerahkan kerusi-kerusi pilihan raya itu kepada parti komponen lain.

CALON SESUAI BAWA TRANFORMASI POLITIK KAUM INDIA

Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa,Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Shukri Shuib pula berkata MIC bukan sahaja memerlukan calon yang sesuai untuk masyarakat umum, tetapi juga calon yang boleh diterima kaum India sendiri.

Keperluan menampilkan calon yang benar-benar sesuai adalah satu cabaran sepanjang masa, justeru setiap calon yang dipilih mesti menepati cita rasa rakyat untuk memastikan BN terus memperoleh mandat untuk memerintah negara selain mencapai kemenangan majoriti dua pertiga.

“Calon sesuai diperlukan MIC bagi mentransformasi dimensi politik kaum India di Malaysia. Setiap calon mesti tahu bagaimana untuk menangani permainan taktik atau fitnah pihak pembangkang yang akan menggunakan pelbagai cara bagi meraih undi.

“Bakal calon MIC perlu bijak berhujah untuk menepis segala tohmahan yang bakal dilemparkan pihak pembangkang. Pengundi hari ini bukanlah seperti tahun-tahun lepas. Mereka akan menilai kebijaksanaan dan kehebatan calon melalui cara calon itu menangani isu-isu yang dilemparkan,” katanya.

Dalam pada itu, calon juga mesti bersikap rendah diri dan jangan menganggap diri itu sudah berada di ambang kejayaan kerana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat perlu dilaksanakan dengan ikhlas, jujur dan berintegriti selepas menang.

Seorang pemerhati politik Datuk Anbumani Balan pula berkata PRU14 menjadi medan untuk MIC membina barisan kepimpinan yang dinamik, progresif dan berwawasan untuk menarik sokong rakyat sekaligus mengembalikan keyakinan 100 peratus masyarakat India kepada parti komponen BN itu.

“Inilah masa untuk memberi peluang kepada calon yang benar-benar layak untuk menggalas tugas dan tanggungjawab untuk berkhidmat. Pemilihan calon yang tepat amat diperlukan sekiranya parti itu mahu terus mewakili masyarakat India di negara ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

PRU 2008 BERI PENGAJARAN

Anbumani berkata keputusan PRU12 memberikan pengajaran penting untuk parti itu bagi melakukan segala proses ‘penambahbaikan politik’ untuk kekal relevan dalam kancah politik nasional.

Yang pentingnya, beliau berkata MIC perlu membaca kehendak dan keinginan masyarakat seiring dengan tuntutan semasa serta bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

“Kerjasama dan perpaduan adalah kunci kejayaan tetapi faktor ini hanya akan dicapai sekiranya semua pihak dalam parti melihat MIC sebagai milik bersama, bukannya dikongsi dan dikuasai sekumpulan kecil orang. Sekiranya MIC mahu buka lembaran baru, tunjukkan kebangkitan itu melalui tindakan secara praktikal bukannya teori sahaja.

“Sebagai parti tunggal mewakili masyarakat India di negara ini mereka perlu bersedia memikul tanggungwab yang diamanahkan dalam apa juga keadaan sekalipun. Jangan mencari alasan ataupun menuding jari serta perlu bersedia belajar daripada kesilapan,” katanya kepada Bernama.

‘FAKTOR NAJIB’ BOLEH TARIK KEYAKINAN MASYARAKAT INDIA

Menurut Anbumi, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2009, Najib mengambil pelbagai tindakan proaktif untuk membantu menangani permasalahan masyarakat India melalui sistem penyampaian yang cekap serta berkesan, sehinggakan keyakinan kaum India semakin meningkat terhadap kepimpinan beliau.

“Perdana Menteri membuka lembaran baru untuk masa depan masyarakat India di negara ini. Beliau membuktikannya dengan merangka dasar pembangunan termasuk Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia bagi membantu kaum India di negara ini khususnya kumpulan berpendapatan rendah (B40), “ katanya.

Jadi apa yang MIC perlu lakukan sekarang ialah memainkan peranan yang lebih penting dan agresif untuk membantu Najib dalam merealisasikan segala aspirasi untuk masyarakat India seiring dengan pembangunan negara. MIC mesti meraih sokongan yang lebih besar lagi daripada komuniti India pada PRU14.

Dr Subramaniam dilaporkan berkata MIC menyasarkan untuk menang tujuh kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 28 kerusi yang dijangka ditandingi pada PRU14. – BERNAMA