Meskipun Sibuk, Najib Tetap Ada Aura Di Sabah

KEJADIAN gempa terkuat yang menggegarkan bumi Sabah pada minggu lalu tampaknya masih lagi menjadi antara topik perbualan utama rakyat Malaysia, bahkan turut diikuti dengan penuh minat oleh warga Singapura.

Biarpun pusat gegaran terletak dekat Gunung Kinabalu, berita kematian ramai pendaki Singapura khasnya peserta dari sebuah sekolah rendah di republik itu menyebabkan Sabah mendapat tumpuan besar negara pulau kecil itu.

Malangnya, bencana itu turut dijadikan fitnah oleh kalangan pihak tidak bertanggungjawab kononnya pemimpin negara tidak prihatin dengan nasib mangsa yang terkorban dan kesan kerosakan besar susulan gempa tersebut.

Agak aneh, pihak yang mencipta fitnah itu tidak pula berasa berdosa akibat perbuatan mereka dan seronok melihat ramai orang ‘termakan’ hasutan dakyat jahat mencetuskan kebencian kepada pemimpin negara tanpa usul periksa.

Ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kebetulan ada lawatan rasmi ke Arab Saudi sehari selepas gempa 5.9 pada skala Richter itu berlaku dijadikan isu besar seolah-olah beliau mementingkan diri sendiri.

Embedded image permalink

Walhal program ke sana sudah diatur lebih awal termasuk pertemuan eksklusif dengan Raja Salman khusus bagi membincangkan pelbagai isu penting kuota jemaah haji Malaysia yang tidak cukup sejak beberapa tahun ini.

Tidak ramai tahu dan mungkin buat-buat tidak tahu, ramai bakal jemaah perlu menunggu puluhan tahun sehingga sudah tua uzur bagi menunaikan ibadah fardu itu hanya kerana kekangan kuota yang terhad untuk setiap negara.

Bayangkanlah jika isu itu melibatkan ibu bapa kita sendiri yang sudah lanjut usia, malah bagi anak muda berusia 20-an baru mendaftar haji sekarang, peluang bergelar haji atau hajah hanya dapat dicapai 50 tahun akan datang.

Adakah pihak menabur fitnah ke atas Perdana Menteri ini sengaja mahu membangkitkan perasaan marah jutaan bakal jemaah haji yang terpaksa menunggu giliran sehingga ke tua hendak mati jika isu kuota gagal ditangani?

Sekadar makluman, permohonan kuota bukan setakat CEO Tabung Haji hantar surat minta tambah jemaah, malah belum tentu Menteri Di JPM, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tulis surat pun akan dapat dilayan baik.

Justeru, secara rasmi dan protokol, adalah lebih afdal Perdana Menteri sendiri ‘turun padang’ jumpa terus Raja Arab Saudi kerana ia lebih beradab ditambah pula jadual padat Raja Salman sendiri dengan banyak acara rasmi.

Mungkin seolah-olah pemimpin Arab Saudi itu macam cerewet, tetapi hakikatnya tanggungjawab baginda amat besar sebagai penjaga dua tanah suci, Makkah dan Madinah yang diziarahi jutaan jemaah dari serata dunia.

Sesuatu yang agak dirahsiakan, baginda bukanlah sombong, malah sejarah menunjukkan Raja Arab Saudi akan membantu tanpa banyak soal jika tahu negara Islam tertentu ditimpa musibah termasuk gempa bumi di Sabah.

Inilah namanya kebijaksanaan serampang dua mata; Najib tidak rugi penat bertemu Raja Salman, bahkan dapat ‘bonus’ apabila kerajaan Arab Saudi sedia membantu Malaysia apabila ditimpa bencana besar di luar jangkaan.

Bayangkan, Raja Salman yang diketahui hafiz al-Quran, kuat pegangan agama dan disiplin waktu, dilaporkan pernah selamba sahaja meninggalkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama apabila tiba waktu Asar.

Ini bermakna baginda jauh lebih berkuasa daripada pemimpin AS itu yang terpaksa akur menunggu Raja Salman selesai solat fardu sebelum mereka berdua menyambung semula perbincangan di istana semayam di Riyadh.

Hakikatnya, Najib memantau rapi perkembangan insiden gempa dari Arab Saudi termasuk koordinasi misi SAR langsung dengan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengarah jawatankuasa bencana negara.

Ini bukan baharu, malah tugas kemudian diagihkan kepada pegawai peringkat bawahan mengikut pelbagai agensi terlibat di peringkat persekutuan, negeri dan daerah sehingga mendapat pujian ramai mangsa khasnya pendaki.

Tidak hairanlah Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong secara peribadi berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang komited dalam SAR walaupun ini kali pertama negara kita dilanda gempa terkuat dalam sejarah.

Pujian juga diberikan media massa Singapura dan keluarga mangsa gempa kepada kesungguhan pihak berkuasa Malaysia yang telus berkongsi info hasil pengalaman daripada tragedi pesawat MAS MH370 dan MH17 tahun lalu.

Begitupun, Najib sanggup memendekkan lawatan di Arab Saudi apabila mengambil keputusan terus balik ke Malaysia untuk meninjau sendiri kawasan dilanda gempa bagi menilai gambaran bencana tersebut pada Selasa.

Padahal tanggungjawab itu sepatutnya hanya diuruskan Muhyiddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tanpa mengganggu urusan Najib yang jauh lebih besar serta bukan mudah pula bertemu Raja Arab Saudi.

Inilah pengorbanan seorang pemimpin dan mungkin ramai masih ingat bagaimana Najib bertemu sendiri anggota pasukan keselamatan semasa Ops Daulat di Sabah pada 2013, walhal itu bukan ruang lingkup tugas rasmi beliau.

Cuba bayangkan keadaan nyawa Perdana Menteri ketika krisis militan asing menceroboh dan bertempur dengan pasukan keselamatan waktu itu, malangnya pengorbanan beliau tidak dihargai bahkan dihina pihak tertentu.

Apa yang nyata fitnah pihak tidak bertanggungjawab ini sebenarnya tidak lebih usaha mengalih isu perpecahan pemimpin pembangkang sendiri yang memang tidak dapat ditutup dan hanya menunggu masa untuk hancur.

Niat mereka bukanlah sangat hendak membantu negara mendapat tambahan kuota haji atau meringankan beban mangsa gempa di Sabah, sebaliknya mencetuskan perasaan benci rakyat yang mudah dihasut dengan info fitnah.

Secara tersirat, apabila Najib ‘menyahut’ seruan meninjau keadaan gempa di Sabah, ia sekali gus membuktikan penyebar fitnah itu sendiri mengakui ketokohan aura Perdana Menteri berbanding pemimpin pembangkang.

Memang betul Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan veteran DAP, Lim Kit Siang turun ke Sabah, namun dua pemimpin itu dilaporkan banyak portal sebagai tidak bertegur sapa malah berjalan arah berbeza!

Sebaliknya kehadiran Najib; yang disifatkan PM paling kerap melawat Sabah dan Sarawak; biarpun jadual padat tetapi masih disambut meriah penduduk macam pesta dan ramai tidak melepaskan peluang bertemu beliau.

Sekadar bertanya, selain kehadiran Abdul Hadi yang mesra dirakamkan bersama Muhyiddin dan Musa, di manakah kelibat tokoh pembangkang lain atau adakah mereka berasa ‘malu’ bertemu rakyat Sabah? – MYNEWSHUB

Loading...