MCA Guna Logo Sendiri Bukan Bermakna BN Berpecah

KUALA LUMPUR — Penggunaan logo sendiri oleh MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bukan bermakna…

KUALA LUMPUR — Penggunaan logo sendiri oleh MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bukan bermakna Barisan Nasional (BN) berpecah, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata malahan ini adalah usaha BN untuk memperkuatkan parti komponen masing-masing selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

“Dari situ (keputusan PRK) kita boleh melakukan kajian dan analisa sama ada parti yang menggunakan logo sendiri itu kuat, apabila parti komponen kuat maka secara keseluruhan parti BN akan teguh…tidak timbul soal BN dalam kancah perpecahan.

“Mungkin nama parti BN akan ditukar kepada nama lain, kita akan fikirkannya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Katanya apabila parrti komponen kuat maka BN secara keseluruhannya akan bertambah teguh kelak.

“Ibu pejabat BN telah menerima surat secara rasmi daripada MCA untuk menurunkan calon mewakili BN dan turut memohon menggunakan logo parti mereka untuk PRK DUN Balakong. Kami sebulat suara telah bersetuju dengan permohonan mereka,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ​​BN berkemungkinan akan membenarkan MIC menggunakan logo mereka sekiranya berlakunya PRK di kawasan yang dulu diwakili MIC dan UMNO pula akan menggunakan logonya sendiri kelak.

“Mengimbau kembali sejarah, selepas tahun 1969, nama parti Perikatan telah ditukar nama kepada BN, sekarang lebih 30 tahun menggunakan nama BN ia perlu melalui proses penjenamaan semula.

“Apa yang penting PRK DUN Balakong dan PRK DUN Seri Setia akan kayu pengukur sejauh mana parti komponen BN menerima mandat daripada pengundi yang diwakili selama ini. PRK ini merupakan ujikaji dan tempat untuk mengukur sejauh mana prestasi BN,” katanya.

Bagi PRK DUN Seri Setia, Mohamad berkata BN bersetuju memberi laluan kepada PAS meletakkan calonnya bertanding selepas mengambil kira parti PAS telah memberi laluan kepada BN pada PRK DUN Sungai Kandis, Selangor, pada 4 Ogos lepas.

Pada 8 Ogos lepas, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood mengumumkan bahawa PRK DUN Seri Setia dan PRK DUN Balakong akan diadakan serentak pada 8 Sept depan.

Penamaan calon pada 18 Ogos dan hari mengundi awal pula ditetapkan pada 4 Sept. – BERNAMA

Loading...