Mavcom Tidak Lindungi Hak Penumpang – CEO AirAsia

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes hari ini berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak berfungsi sebagai ‘pelindung’ hak penumpang, seperti yang didakwa oleh badan kawal selia itu.

Beliau berkata Mavcom harus melihat semua kemungkinan yang ada bagi caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan bukannya mengambil pendekatan penyamarataan lengkap.

“Mavcom mendakwa ia melindungi penumpang. Bagaimana mereka boleh berkata demikian sedangkan mereka mahu menaikkan cukai lapangan terbang dan mahu menyamaratakan cukai lapangan terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 meskipun jelas yang klia2 lebih jauh kekurangan daripada KLIA.

“Bagaimana mereka melindungi pengguna?” katanya dalam catatan terbaharu beliau di laman Twitter.

Fernandes berkata adalah tidak adil bagi penumpang dikenakan cukai lapangan terbang yang sama bagi KLIA dan klia2 apabila kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan berada di tahap yang berbeza.

Beliau berkata klia2 perlu dikenakan kadar berbeza memandangkan lapangan terbang itu dibina tanpa aerotrain, kerusi yang tidak mencukupi di setiap lounge, koridor sempit serta kemudahan daftar masuk yang kurang.

“Mavcom perlu kotakan apa yang dikatakan, bukan hanya mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan mereka melindungi pengguna.

“Adakah melindungi pengguna dengan membenarkan Malaysia Airports Holdings Bhd. mengenakan bayaran lapangan terbang yang sama antara KLIA dan klia2?” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini mengarahkan Mavcom menjalankan semakan semula PSC bagi mencerminkan kemudahan lapangan terbang masing-masing dalam usaha memperkenalkan kadar baharu tahun depan.

Sehubungan itu, MAHB mengumumkan bahawa ia akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan bagi mempercepatkan semakan semula PSC tersebut. – BERNAMA

Loading...