Masih Speaker Dewan, Pandikar Nafi Kenyataan Tun M

KHABAR menyatakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan yang menggemparkan dunia politik sehari dua ini ternyata tidak benar apabila ia akhirnya dinafikan sendiri empunya badan.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Pandikar antara lain menulis, “Saya akan bertugas seperti biasa sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 mulai pada 18 Mei hingga 18 Jun 2015.”

Secara tak langsung, Pandikar akan mempengerusikan Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat yang baharu bagi Parlimen Rompin dan Permatang Pauh pada 18 Mei 2015, selain mempengerusikan sesi Pembentangan Usul Rancangan Malaysia Kesebelas oleh Perdana Menteri pada 1 Mei 2015.

Kredit Gambar: Friends of BN
Kredit Gambar: Friends of BN

Berita bahawa Pandikar telah meletak jawatan sebagai Speaker tercetus selepas ia dimaklumkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kepada media dalam program Bicara Negara yang diadakan di Ipoh, Perak petang semalam.

“Dia datang bertemu saya. Dia beritahu dia tidak mahu meneruskan lagi, sekarang tugas beliau disandang oleh timbalannya,” demikian ulasan Dr Mahathir yang dilaporkan oleh Malaysian Insider.

Berita ini kemudiannya dinafikan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee sebelum disusuli dengan kenyataan media oleh Pandikar sendiri.

– MYNEWSHUB.CC

https://www.youtube.com/watch?v=ndJ0dY7WOhs

Oleh: Rem Ramzi