Letakkan Integriti Sebagai Asas Utama Pentadbiran

IPOH – Pimpinan Pakatan Harapan (PH) khususnya yang beragama Islam perlu bebas daripada amalan rasuah selain meletakkan integriti sebagai asas utama dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu ditekankan kerana ia akan menjadi contoh dan penanda aras oleh rakyat khususnya bukan Islam yang telah memilih PH sebagai kerajaan.

“Kalau umat Islam itu bila dia jadi pemimpin dia rasuah, zalim dan tidak berintegriti, bagaimana orang nak hormat dia? Islam pun tak dapat terima, inikan pula orang bukan Islam.

“Tapi kalau pemimpin Islam itu adil, membela nasib rakyat, menjaga integriti, tidak rasuah maka dia akan jadi contoh kepada semua manusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana bersama Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Katanya, pimpinan PH juga perlu dekat di hati rakyat selain menyelesaikan segala masalah yang diluahkan mereka dengan baik.

“Kita perlu beristighfar yang sokong kita kebanyakannya adalah orang susah. Dia harap pemimpin dengar hasrat dan luahan dia. Jadi, kedua-dua pihak perlu bersama bagi menyelesaikan sesuatu perkara itu dengan baik,” katanya.

Selain itu, Anwar yang juga bekas anggota Parlimen Permatang Pauh berjanji akan terus memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan khususnya dalam acara rasmi.

Katanya, bagaimanapun jika Malaysia mahu bergerak sebagai negara maju, penguasaan bahasa Inggeris juga perlu dimantapkan.

“Acara rasmi negara mesti memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ini tak boleh ditolak ansur.

“Tetapi sikap kita harus terbuka jika Malaysia nak berjaya sebagai negara maju maka penguasaan bahasa Inggeris juga perlu baik,” katanya. — BERNAMA

Loading...