K’jaan Teruskan Bantuan Kepada Badan Agama, Sekolah Cina & Mubaligh

KOTA KINABALU — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian peruntukan tahunan kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah mubaligh dan persendirian Cina di Sabah.

Menjawap soalan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata objektif pemberian peruntukan berkenaan ialah bagi meringankan beban kewangan institusi berkenaan.

“…ianya diberikan sebagai subsidi sahaja dan bukan untuk menampung sepenuhnya perbelanjaan yang diperlukan,” katanya.

Mohd Shafie juga menjelaskan bahawa kerajaan pada masa ini belum ada cadangan untuk menambah jumlah peruntukan bagi maksud berkenaan namun sedia mempertimbangkan cadangan seperti itu pada masa akan datang, tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri Sabah.

Dalam perkembangan lain, Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menjelaskan bahawa kini terdapat 25 buah syarikat beroperasi di Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.

Menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura), Madius berkata dua syarikat terlibat dalam bidang penapisan, kilang baja (tujuh), biodiesel (dua), pemprosesan ‘spent bleaching earth’ (dua), pemprosesan isi rong sawit (dua) dan industri sokongan (10).

Berhubung POIC Sandakan, Madius berkata projek pembinaan Fasa 1 POIC Sandakan di kawasan seluas 408.7 hektar dan 242 hektar daripadanya sudah boleh digunakan.

Katanya 20.2 hektar sudah ditempah oleh syarikat tenaga dan 12 hektar lagi digunakan oleh pengurusan POIC sendiri. — BERNAMA

Loading...