KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Khazanah Nasional Bhd akan diuruskan oleh golongan profesional.

Beliau berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang meneliti beberapa nama yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi menguruskan kewangan dan pentadbiran Khazanah.

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai salah seorang pengarah syarikat dana pelaburan strategik negara itu, Mohamed Azmin berkata ia merupakan prerogatif Perdana Menteri.

“Keputusan melantik saya mewakili Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ini akan dapat memberi tumpuan mengenai agenda ekonomi baru yang akan dibentangkan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, Mohamed Azmin serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Dr Sukhdave Singh dan bekas Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Goh Ching Yin dilantik sebagai pengarah syarikat itu.

Dr Mahathir pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menegaskan tidak wujud kem dalam pemilihan parti yang akan diadakan bulan depan, dengan menyifatkan kesemua anggota parti merupakan sebuah keluarga besar yang bercita-cita memperkukuhkan parti.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya menentang Naib Presiden parti Rafizi Ramli yang menyatakan hasrat bertanding jawatan itu, Mohamed Azmin berkata itu hak Rafizi sebagai anggota parti.

“Saya penyandang, (saya) tidak bertanding menentang sesiapa. Sekarang saya masih menumpukan kepada gerak kerja Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis dan juga perbahasan dalam Parlimen kerana ia tanggungjawab saya sebagai anggota jemaah menteri dan Timbalan Presiden parti,” katanya. – BERNAMA