Kerjasama Politik UMNO-PAS Mungkin Sukar Tetapi…

KUALA LUMPUR – Perpaduan UMNO dan Pas atas dasar politik mungkin sukar terlaksana namun kerjasama demi kepentingan ummah dan agama khususnya berkaitan kebajikan dan sosial dijangka berterusan, demikian menurut pemerhati politik.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abd. Rahman berkata rata-rata golongan muda berpendapat kerjasama politik antara PAS dan UMNO sukar dilaksanakan, namun kerjasama atas dasar perpaduan ummah masih boleh direalisasikan.

Beliau berkata sikap terbuka pemimpin UMNO dan Pas yang ditunjukkan dalam beberapa peristiwa sebelum ini menjadi simbolik kerjasama itu boleh dijalinkan.

Ezaruddin memberi contoh tindakan terpuji atas keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sering mengunjungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi ketika menerima rawatan kesihatan.

Satu lagi contoh kerjasama adalah usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi memperkasa Mahkamah Syariah hingga pemimpin dari parti berbeza boleh duduk semeja bagi mencari titik persamaan, katanya.

“Memperkasakan Islam dan Melayu akan dapat digerakkan jika masing-masing memahami kepentingan kelangsungan ummah. Buang yang keruh ambil yang jernih kerana anasir luar sentiasa memusnahkan agenda Islam dan Melayu,” katanya.

Rosli Zakaria, 51, yang aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan di Kuala Berang, Terengganu berkata beliau tidak pernah mengalami masalah mengumpul orang muda kerana tidak meletakkan status ‘hijau’ atau ‘biru’ dalam sesuatu program.

“Program peringkat kampung hanya bermula dengan khabar angin, selepas itu akan ada pertanyaan demi pertanyaan hingga kadang-kadang dapat kumpul hampir 500 anak muda hanya untuk program membersihkan kawasan kubur,” katanya.

Melalui program berkenaan, Rosli yang merupakan seorang guru dapat menyelami masalah orang muda antaranya kerana mengganggur dan masalah keluarga.

Ketua UMNO Kuala Krai, Kelantan, Datuk Ramzi Abdul Rahman berkata demi kepentingan orang Melayu, kerjasama antara kerajaan Kelantan dan kerajaan Persekutuan sedang rancak berlaku, terutama dalam aspek kebajikan.

Beliau berkata kerjasama tersebut paling ketara dilihat ialah sejak Kelantan dilanda banjir besar pada 2014 apabila mereka bersama membantu rakyat yang terjejas.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS, boleh duduk semeja berbincang untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat akibat banjir terburuk di negeri itu.

“Di jajahan Kuala Krai, kawasan yang paling teruk terjejas akibat bah kuning pada 2014, kerajaan Persekutuan turut bersama membina rumah kekal baharu untuk mangsa banjir, kita (kerajaan Persekutuan) sahaja membina kira-kira 700 rumah kekal baharu,” katanya.

Malah, kerjasama antara penyokong kedua-dua parti dapat dilihat dalam program kemasyarakatan di kawasan masing-masing seperti gotong-royong mengindahkan masjid dan surau, katanya.

Ramzi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Dabong berkata demi kepentingan Islam, kesemua 12 Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan dari Barisan Nasional menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 pindaan 2015 pada tahun lepas. – BERNAMA

Loading...