Kerajaan Tak Henti Dekati Rakyat Walau Dikritik

PARIT – Kerajaan tidak akan berhenti daripada terus mendekati rakyat walaupun dikritik pihak tertentu, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata walaupun pihak pembangkang sering mengaitkan program kerajaan sebagai retorik politik, namun ia merupakan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat

“Ada sekelompok masyarakat tugas dia memang akan cakap apa sahaja yang kerajaan buat tidak betul, sebab tu kita (pemimpin) kena turun padang berjumpa dan berinterksi dengan rakyat.

“Dalam konteks negeri Perak, kita sudah bertahun lakukan program turun padang melalui program pemukiman atau sebelum ini Klinik Dr Zambry dan program Padang, Perasaan dan Penyelesaian (PPP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program [email protected] peringkat Perak di Bota Kanan di sini, hari ini. Hadir sama pada program itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang.

Dalam pada itu, Zambry berkata program seumpamanya perlu diteruskan bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai kerajaan.

Beliau berkata pihak pembangkang sering menyebarkan berita palsu untuk menakut-nakutkan rakyat antaranya mengatakan Perak negeri kedua termiskin, negara akan muflis tidak lama lagi dan wujudnya pengundi hantu.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula mempunyai segala maklumat-maklumat (betul dan tepat) untuk di sampaikan dan dikongsi kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA

Loading...