Kenyataan Rasmi Pengerusi PAC Isu ‘Cari Makan’

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin melahirkan rasa kesal dengan tindakan beberapa portal berita menjadikan kenyataan beliau “saya pun cari makan” sebagai tajuk utama berita mereka hari ini.

Hasan berkata, kenyataan beliau itu dibuat dalam nada bergurau tetapi portal berita terbabit tetap menjadikan ia sebagai bahan berita untuk menjatuhkan reputasi beliau dan PAC.

Berikut kenyataan penuh Hasan bagi mengulas berita tersebut:

Kenyataan Media Datuk Hasan Arifin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia berhubung salah faham penggunaan ayat cari makan ketika sidang akhbar 18 November 2015.

Pada sidang akhbar PAC Parlimen Malaysia, saya menyediakan makan tengah hari untuk para petugas media dengan tujuan mengeratkan hubungan mesra antara saya dan selaku Pengerusi PAC bersama dengan para petugas media.

Ketika sidang media hampir tamat, saya menjemput para petugas media untuk makan tengah hari dan selepas itu secara bergurau saya bercakap “saya pun cari makan” bagi mewujudkan suasana lebih mesra dengan petugas media.

Saya memaklumkan kepada petugas media bahawa percakapan saya mengenai “saya pun cari makan” tidak harus dilaporkan. Ia adalah sekadar gurauan kerana sebelum itu saya menyatakan buat masa ini tidak perlu untuk memanggil Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun, saya dapati portal berita The Malaysia Insider dan MalaysiaKini mengeluarkan berita mengenai percakapan “saya pun cari makan” saya itu.

Saya berpendapat, mana-mana portal berita atau mana-mana akhbar menyiarkan percakapan “saya pun cari makan” itu, ia adalah sesuatu yang tidak beretika, menjejaskan hubungan saya dengan petugas media serta reputasi saya selaku Pengerusi PAC dan ahli politik. – mynewshub.cc

Loading...