Kakitangan Awam Pahang Pun Dapat Bonus Raya

KERAJAAN Pahang tidak menolak kemungkinan memberi bonus kepada kakitangan awamnya untuk sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu akan diumumkan selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Kita perlu tengok dahulu kemampuan kewangan kerajaan negeri, perkara ini akan dibincangkan dengan pegawai kewangan negeri dan kita tengok apa yang kita boleh buat untuk membantu mereka.

“Jumlahnya saya akan umumkan kemudian sebab buat masa ini, saya belum bincang lagi dengan pihak berkaitan (pegawai kewangan negeri).

“Namun, saya boleh beri jaminan kita akan beri bonus kepada mereka (penjawat awam kerajaan negeri), cuma jumlahnya belum dapat diputuskan lagi buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Masjid Kampung Batu Papan, dekat Bera, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman; ADUN Kemayan, Datuk Mohd Fadhil Osman dan ADUN Triang, Leong Yu Man.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sudah mengemukakan dua nama untuk dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) Pahang.

Beliau berkata, dua nama itu bagi melengkapkan 10 EXCO kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Pahang.

Pada masa ini, Wan Rosdy memegang empat portfolio iaitu Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Ekonomi; Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli serta Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan dan Bioteknologi. – myMetro Online

Loading...