Jenazah Bonda Sultan Johor Dijangka Tiba Malam Ini

JOHOR BAHRU – Jenazah bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), malam ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata ketika ini jenazah Almarhumah sedang diiring di dalam pesawat peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dari London dan dijangka sampai di LTAS pada 10.30 malam.

“Istiadat Pemakaman akan dilaksanakan pada hari esok. Tuanku Sultan Johor memperkenan jenazah Almarhumah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, sebaris dengan makam Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata segala persiapan bagi Istiadat Pemakaman telah disempurnakan dan ketibaan jenazah Almarhumah malam ini akan disambut Sultan Ibrahim, kerabat damping, Jumaah Majlis Diraja Johor; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, barisan exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Beliau berkata pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor akan mengusung jenazah turun dari pesawat dan disambut Sultan Ibrahim dan kerabat sebelum disemayam di van jenazah Jabatan Agama Islam Johor untuk diiring ke Istana Besar.

Abdul Rahim berkata di Istana Besar, jenazah akan disambut kerabat Johor dan diusung ke sebuah bilik khas untuk disemayamkan sebelum pegawai agama dan beberapa kumpulan tahfiz membaca al-Quran secara bergilir.

Menurutnya jenazah akan dipindahkan ke keranda yang disediakan di Istana Besar dan bendera kerabat akan diletakkan di atas keranda itu.

“Esok, jenazah akan diusung daripada bilik khas oleh sepasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor berpakaian penuh istiadat untuk disemayam di atas peterana setinggi tiga tingkat di bilik Singgahsana, Istana Besar,” katanya.

Bagi orang ramai dan kerabat, Sultan Ibrahim memperkenankan supaya Istiadat Penghormatan Terakhir bermula dari 8 pagi hingga 10 pagi dan jenazah kemudian perlu berangkat bergerak dari Istana Besar ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, pada 10.15 pagi untuk pemakaman diselesaikan sebelum waktu Zohor.

Beliau berkata jenazah akan ditarik oleh sebuah pedati membabitkan 40 Askar Timbalan Setia Negeri Johor sejauh 2.8 kilometer ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah dengan mendahului perarakan adalah Datuk Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani selaku Datuk Penghulu Biracana.

Abdul Rahim berkata setakat ini, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan berangkat ke Istiadat Pemakaman berkenaan.

Beliau berkata bagi pencucuran air mawar, ia akan didahului Sultan Ibrahim; Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, diikuti Sultan Sallehuddin, Tengku Abdullah, Tengku Puan Pahang, Tunku ​​​​​​​Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan kerabat diraja Johor.

Katanya majlis tahlil akan diadakan pada malam pertama esok, kedua dan ketiga sebelum seterusnya pada hari ketujuh, 21, 40 dan 100 yang kesemuanya diadakan di Masjid Pasir Pelangi, di sini.

“Saya mengingatkan, segala bentuk hiburan tidak dibenarkan di seluruh negeri pada malam esok bagi menghormati kemangkatan. Apabila selesai pemakaman, semua bendera negeri dan daerah akan dinaikkan semula mulai esok,” kata Abdul Rahim.

Menurut Abdul Rahim, bagi orang ramai yang akan menziarahi jenazah, mereka yang berjalan kaki boleh memasuki istana menerusi pintu gerbang manakala yang membawa kenderaan menerusi pintu B berdepan bangunan Tabung Haji dibenarkan meletak kenderaan di Padang Kawad Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Sebarang pengambilan gambar di dalam Istana Besar semasa Istiadat Perhormatan Terakhir adalah dilarang, katanya.

Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom, 83, mangkat pada 7.55 malam, 1 Jun lepas, di Hospital King Edward VII, London.

Almarhumah dilahirkan pada 2 Disember 1935 dan dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – BERNAMA

Loading...