Jawatankuasa Khas Perinci Pengambilalihan SESB

KERAJAAN negeri Sabah akan membentuk jawatankuasa khas bagi memperincikan transisi pengambilalihan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal berkata pembentukan jawatankuasa itu mempercepatkan proses ini yang akan dianggotai wakil daripada kerajaan negeri Sabah dan kerajaan persekutuan.

“Semalam Yeo Bee Yin (Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) memaklumkan kepada saya (ketika kunjungan hormat) menerusi surat yang dia bawa bahawa kerajaan Persekutuan secara prinsipal menyerahkan pemilikan SESB kepada kerajaan negeri Sabah.

Tapi ada beberapa perkara perlu diperinci dari segi hutang (SESB) dan ini perlu kita bincang kerana ia babitkan aspek kewangan, kita sedar dan tahu ada liabiliti yang kita kena runding dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Pesta Tarian Naga, Unicorn dan Singa di Kota Kinabalu hari ini.

Pesta itu dianjurkan Gabungan Persatuan Komuniti Cina Kota Kinabalu menjelang perayaan Tahun Baru Cina pada bulan depan.

Mohd Shafie berkata liabiliti yang ada mencecah RM2 bilion dan ia adalah satu jumlah yang banyak.

Katanya perkara tersebut sebelum ini telah beliau bincang dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan akan dibincang lanjut menerusi jawatankuasa khas yang dibentuk.

Beliau berkata yang penting bagi kerajaan negeri, keputusan itu merupakan salah satu aspek cukup penting dalam pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Menurutnya dalam usaha menjadi negeri industri, bekalan elektrik merupakan satu kemudahan yang utama untuk menarik ramai pelabur dan kadarnya perlu diurus dengan baik.

“Bukan hanya dari segi pelabur, malah dari segi kampung-kampung yang kita tahu mereka tidak nikmati bekalan elektrik walaupun sudah lama kita merdeka tapi masih ada kampung-kampung bergantung dengan generator dan ada yang masih dalam keadaan kegelapan.

Jadi ini satu langkah yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat, walaupun ianya bukan mudah tapi satu tanggungjawab yang besar kita pikul sebaik mungkin dan diurus tadbir dengan baik,” katanya.

Mohd Shafie berkata apabila kerajaan negeri mengambilalih SESB, tumpuan diberikan memastikan kekurangan dari segi kewangan dan hutangnya dapat ditangani dari semasa ke semasa,

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri juga akan melihat berbagai kaedah dari segi penggunaan janaan elektrik.

“Kalau perlu kita tingkat penggunaan biodiesel dan tidak bergantung dengan janaan berasaskan sumber diesel, petrol dan gas yang ada,” kata Mohd Shafie. – BERNAMA

Loading...