Istiadat Angkat Sumpah MB Pahang Diadakan Esok

KUANTAN – Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang dijadual akan diadakan petang esok di Istana Abu Bakar, Pekan.

Pegawai Media Istana Pahang memaklumkan bahawa istiadat berkenaan akan diadakan di Bilik Menghadap Utama, Istana berkenaan pada pukul 3 petang.

Majlis angkat sumpah itu akan diadakan bersama dengan pelantikan dan angkat sumpah jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (Exco).

Bagaimanapun tidak dinyatakan siapakah Anggota Dewan Undangan (ADUN) yang bakal dilantik menjadi menteri besar dan Exco.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang sebelum ini dijadual dilangsungkan pada Sabtu lalu, namun ditangguh sementara setelah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memaklumkan memerlukan masa untuk mengenali semua ADUN baharu yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.

Dipercayai Datuk Seri Adnan Yaakob, 68, akan terus mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Pahang bagi penggal kelima turut berdasarkan ketokohannya dan keupayaannya memastikan Barisan Nasional (BN) berjaya menang 25 kerusi daripada 42 kawasan DUN di negeri ini pada PRU14. – BERNAMA