Ishak Sentiasa Utamakan Kepentingan Parti

SEREMBAN – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Allahyarham Datuk Ishak Ismail disifatkan sebagai seorang pemimpin yang sentiasa meletakkan kepentingan UMNO, sebagai perkara yang lebih utama.

Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang Tan Sri Mohd Isa Abd Samad berkata sebagai seorang rakan lama, beliau tahu mengenai sikap dan pendirian arwah yang begitu lantang mempertahankan parti dalam segenap segi.

“Saya mula mengenali Allahyarham sejak 1980, ketika itu saya memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan juga Ketua Pemuda UMNO negeri, manakala arwah pula adalah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pantai.

“Apabila UMNO diharamkan pada 1988, beliau masih bersama dengan UMNO dan kemudian diwujudkan UMNO baharu, beliau telah saya cadangkan kepada Majlis Tertinggi untuk dilantik sebagai ketua penaja UMNO yang baharu dan juga Ketua UMNO Bahagian (Seremban).

“Beliau seorang ahli yang baik walaupun (perwatakannya) agak kasar, tetapi meletakkan kepentingan parti sebagai perkara yang paling utama,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis Sukaneka dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Pusat Pendidikan Kanak-Kanak Istimewa Puan Sri Hajah Hazizah Haji Tumin di sini hari ini.

Ishak, 66, yang merupakan ADUN Lenggeng selama empat penggal sejak pilihan raya umum 1995, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah pada 11.25 Selasa malam, akibat serangan jantung.

Ishak dilaporkan pengsan ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri ADUN Seri Menanti Datuk Abd Samad Ibrahim di Tanjong Ipoh sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk rawatan lanjut.

Allahyarham yang  berasal dari Kampong Pantai, Seremban, baru menyambut ulang tahun ke-66 pada Isnin lepas, meninggalkan isteri  Datin Norimah Ujang dan empat orang anak. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Genting, Pantai, pada petang semalam.

Mengimbau kembali kenangannya sewaktu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa yang juga Anggota Parlimen Jempol berkata Ishak memainkan peranannya sebagai wakil rakyat yang baik dengan memperjuangkan permasalahan rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun pada Pilihan Raya Umum 1999, Barisan Nasional (BN) menguasai sepenuhnya kerusi di Negeri Sembilan.

“Pada ketika itu tiada pembangkang dalam sidang DUN, maka Ishak adalah antara yang paling aktif mengambil bahagian dalam perbahasan. Jadi tak adalah sidang itu seolah-olah menjadi tempat ‘rubber stamp’ sahaja walaupun kita menang semua kerusi,” katanya.

Mohd Isa yang juga Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata kali terakhir beliau bertemu dengan ADUN Lenggeng itu ialah tiga hari lepas di sebuah hospital swasta di sini.

“Saya ziarah arwah kerana dimasukkan wad akibat demam denggi. Tiada perubahan yang ditunjukkan arwah malah kami berbual pelbagai topik seperti biasa.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan mendoakan arwah ditempatkan bersama golongan beriman dan beramal soleh,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Ishak menang dengan majoriti 2,058 undi menewaskan Zulkefly Mohamad Omar daripada PAS dan calon bebas Zulkifli Abdullah. – BERNAMA