Golongan Penoreh Getah Lega Kenaikan BR1M

PENDANG – Kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi melegakan golongan penoreh getah yang sedang berdepan dengan ketidaktentuan harga komoditi itu.

Siti Aminah Hassan, 35, dari Kampung Nandam, di sini berkata walaupun ia diberikan tiga kali dalam setahun, namun bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangannya dalam membesarkan lima anak.

“Saya tidak menyangka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman tersebut kerana ia pada akhir ucapan beliau. Saya sangat tersentuh kerana sejak suami, Sulaiman Ali, 48, diserang penyakit jantung setahun lepas, menyebabkan kami tiada pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, suaminya itu tidak lagi boleh membuat kerja berat mengambil upah di sawah penduduk sekitar dan disebabkan itu, mereka hanya bergantung dengan pendapatan menorah, kira-kira RM100 seminggu.

“Saya dan suami akan beri sokongan padu kepada BN, bukan sebab BR1M semata-mata tetapi atas jasa dan pengorbanan BN yang cukup bijak dan tahu cara membantu rakyat yang dihimpit kenaikan kos hidup dengan pelbagai bantuan yang diberikan, ” katanya.

Seorang lagi penoreh, Salma Hussin, 47, berkata beliau tidak menyangka pengumuman Manifesto BN malam tadi turut menyentuh kenaikan bantuan BR1M.

“Saya mula berkira-kira jumlah yang diperoleh sebab sebelum ini dah dapat RM400, peningkatan dari RM1,200 kepada RM2,000 itu sesuatu yang patut disyukuri dan umpama ‘durian runtuh’ buat kami. Kami tetap akan menyokong BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini bagi memastikan bantuan itu terus dinikmati,” katanya. – BERNAMA

Loading...