Gerakan Kedah Yakin Rampas DUN Derga, Sidam

ALOR SETAR – Parti Gerakan Kedah yakin mempunyai peluang cerah untuk memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Sidam pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusinya Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata keyakinan itu reaksi daripada masyarakat akar umbi terutamanya masyarakat Cina di kerusi DUN berkenaan yang kini disandang pihak pembangkang yang mahukan perubahan lebih baik di kawasan berkenaan selepas ini.

“Peluang memang cerah kita boleh cakap, ia berlainan sikit, kita tengok reaksi daripada rakyat pun berubah dan kita tengok depa cakap dalam bahasa Cina, ubah ini dan dalam satu maksud yang lain dalam sebutan Cina, kita sebut ubah daripada satu penipuan…,” katanya.

Ada satu peringkat, wakil rakyat pembangkang meminta supaya rakyat mencari Dr Cheah atau UMNO jika berdepan sebarang masalah dan perkara itu disebarkan melalui Facebook, katanya kepada pemberita selepas ceramah bertajuk ‘Menolak Pakatan Hipokrasi’ di Padang Awam Taman Derga Jaya di sini malam tadi. Turut sama berceramah adalah Ketua Penerangan UMNO negeri Datuk Othman Abdul.

Pada 16 Mac lepas, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong dilaporkan menyatakan parti itu mencadangkan Cheah dan anggota Jawatankuasa Gerakan Kedah Tan Kok Seong sebagai calon untuk bertanding masing-masing di kerusi DUN Derga dan Sidam pada PRU14.

Kerusi DUN Derga kini disandang oleh DAP manakala kerusi DUN Sidam disandang PKR.

Mengulas lanjut, Cheah berkata wakil rakyat sedia ada itu tidak dapat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk setempat biarpun ada juga yang turun padang melawat kawasan masing-masing malah terdapat rungutan rakyat yang perlu diselesaikan BN.

“Kadang-kadang kita juga tengok ada agensi kerajaan mengadakan aktiviti, mereka datang dengan jip mereka, pakai lambang mereka, nampak di sana macam (seolah-olah) dia (wakil rakyat pembangkang) yang kendalikan aktiviti itu, macam gotong-royong,” katanya. – BERNAMA