Gerakan Kata Pemimpin P.Pinang Perintah Gaya Mafia

GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang membidas pucuk pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang kerana dikatakan memerintah ‘gaya mafia’.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata ini kerana rakyat tidak boleh langsung mengkritik pucuk pimpinan negeri, jika tidak mereka akan dihukum.

“Pucuk pimpinan negeri ini akan mencari kesalahan anda walaupun sekecil-kecilnya, sekiranya anda menentang mereka. Pertama mereka cuba mendiamkan saya, kemudian media dan kini rakyat pula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada kejadian yang menimpa pemilik kedai kopi francais Kaffa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Patrick Ooi yang sebahagian premisnya dirobohkan kerana dikatakan tidak mendapat kelulusan majlis kerajaan tempatan.

Teng yang juga Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang mendakwa Ooi turut dipersoal kerana mengkritik pucuk pimpinan Lim Guan Eng. – BERNAMA

Loading...