Feng Shui LGE Sendiri Punca Banglo Makin Bermasalah?

BAGI masyarakat Tionghua, isu feng shui bukan perkara main-main waima belajar tinggi hebat macam mana pun, kaum ini amat mementingkan peranan feng shui terutama ketika membeli hartanah atau membina bangunan.

Justeru tidak hairanlah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menempelak hujah dangkal Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok menyalahkan faktor ‘feng shui’ dalam skandal banglo ‘murah’ Lim Guan Eng.

Alasan bodoh itu dijadikan Teresa sebagai punca kenapa ahli perniagaan Phang Li Koon sanggup jual rumahnya tersebut kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada RM2.8 juta berbanding harga pasaran semasa RM6.5 juta.

Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, dengan perbezaan yang begitu besar iaitu RM3.7 juta tetapi masih lagi tetap menyalahkan feng shui adalah satu tindakan memang nyata tidak masuk akal.

“Kalau cakap pasal feng shui, saya sendiri sebagai orang Cina dan jurutera sivil, jika hendak buat sesebuah rumah, dan feng shui didapati tidak baik, itu sebenarnya adalah sebab feng shui orang yang pernah duduk tinggal di situ.

“Kalau orang yang duduk itu (tiada feng shui) dan kita jual pula kepada orang yang duduk itu (pun masih tidak ada feng shui), pemilik baharu itu pula memang tidak siuman, ini alasan yang kurang masuk akal,” kata Ka Siong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen BN Ayer Hitam di Johor menyatakan demikian pada satu sidang media selepas menyaksikan majlis tandatangani antara Lay Hong Berhad dan NH Foods Limited di Kuala Lumpur pada Selasa.

Bagaimanapun beliau merayu supaya Guan Eng tidak terus berselindung dengan pelbagai alasan, sebaliknya perlu tampil secara jujur menerangkan segala yang menjadi persoalan kepada urusan jual beli banglo ‘murah’ tersebut.

feng-shui-wheel

Guan Eng sepatutnya mengamalkan prinsip yang beliau sendiri konon pegang sebelum ini iaitu CAT (Competency, Accountability and Transparency) dan bukannya pula ‘cakap tidak serupa bikin’ apabila tersepit isu kontroversi.

“Kata mengamalkan CAT, apa itu ‘T’? Transparency (telus), beliau kena secara telus hadapi apa juga persoalan yang dibangkitkan kepada beliau, tak patut bersembunyi seperti cuba melindungi sesuatu rahsia tertentu.

“Sebagai orang politik, kita selalu menegakkan intergriti, sepatutnya beliau (Guan Eng) mengikut prinsip yang selama ini dipegang. Perkataan CAT itu bukan untuk glamor sahaja tetapi mesti mempunyai makna tersendiri.

Saya rayu beliau pegang prinsip itu dan dedahkan segalanya,” kata Ka Siong yang mempersoalkan urusan tender bagi projek pembinaan hospital swasta melibatkan kelulusan Guan Eng sering berubah-ubah serta mengelirukan.

Namun beliau percaya syarat diubah sebelum dan selepas sesuatu tender dikeluarkan adalah disebabkan faktor Gross Development Value (GDV) yang menguntungkan pihak pemaju yang memenangi tender berkenaan.

“Kalau saya sebagai ketua menteri, saya akan tengok potensi terlebih dahulu, jika ditakdirkan boleh buat projek komersial, saya tidak akan bagi orang buka tender dulu. Ini tidak, apabila sudah dapat dia ubah syarat pula.

“Kalau pihak kerajaan negeri mahu membina sebuah hospital swasta baharu di tapak asalnya flat murah fasa 2, Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin, kenapa 70% akhirnya dibuat untuk komersil (apartmen servis dan hotel).

“Ini ‘mix development’ (pembangunan bercampur) yang mana nilai sesuatu pembangunan akan bertambah, GDV juga akan berubah berbanding kalau cuma bina hospital, kita tidak boleh memasarkan produktiviti kita,” katanya.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA