FELCRA Tarik Balik Saman Fitnah Terhadap Sim & RoketKini

KUALA LUMPUR – FELCRA Berhad hari ini menarik balik saman fitnah terhadap Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong dan editor RoketKini.com berhubung penerbitan sebuah artikel yang mendakwa wujudnya urus niaga haram dalam penjualan minyak sawit.

Peguam Muhammad Salihin Muhammad Shukri yang mewakili FELCRA berkata tindakan untuk menarik balik saman fitnah itu dilakukan atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

“Saman ditarik balik tanpa kebebasan memfailkan semula saman itu dan juga tanpa kos,” katanya yang ditemui pemberita selepas pengurusan lanjut kes berkenaan di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aliza Sulaiman di sini.

FELCRA, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu pada 6 Jun lepas menerusi Tetuan Omar Ismail Hazman & Co dengan menamakan Sim, yang juga Anggota Parlimen Bukit Mertajam dan editor akhbar dalam talian itu selaku defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, FELCRA mendakwa defendan kedua telah menerbitkan artikel berjudul “Peserta FELCRA rugi RM600 juta setahun akibat urus niaga haram?” di Roketkini.com pada 12 Mac lepas, berdasarkan kenyataan Sim.

Dakwa plaintif, artikel itu membawa maksud bahawa syarikatnya menjalankan urus niaga haram dengan pihak ketiga sehingga menyebabkan kerugian kepada peserta FELCRA selain mendakwa FELCRA melanggar peraturan menjual minyak sawit dengan kadar perahan minyak sawit (OER) yang jauh lebih rendah daripada kadar minimum yang ditetapkan oleh undang-undang.

​​​Syarikat itu turut mendakwa semua urus niaga yang dijalankan mematuhi peraturan perolehan syarikat dan penerbitan artikel berkenaan telah menyebabkan reputasi plaintif terjejas selaku organisasi yang ditubuhkan sejak 1966 bagi membangunkan sektor luar bandar.

Oleh itu, FELCRA menuntut ganti rugi am dan teladan serta memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan menerbitkan artikel serupa serta menuntut defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar tempatan dan media sosial. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...