Dokumen PRU14 Parlimen Kota Raja Dilupuskan

SHAH ALAM – Dokumen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas bagi kawasan Parlimen Kota Raja dilupuskan pada hari ini selepas tiada sebarang petisyen bantahan dibuat oleh parti politik yang bertanding.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan berkenaan Shukri Mohamad Hamin berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lepas untuk melupuskan dokumen yang digunakan pada PRU14 antaranya kertas undi.

“Kebenaran melupus ini diberikan oleh SPR selepas tiada petisyen bantahan dikemukakan oleh calon dan parti politik yang bertanding selepas 21 hari keputusan pilihan raya bagi kawasan ini diwartakan pada 29 Mei lepas,” katanya kepada Bernama di sini.

Kertas undi dan pelbagai dokumen bagi kawasan Parlimen Kota Raja dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa dilupuskan pada hari ini di Dewan MBSA Kemuning Utama, Seksyen 32 dengan cara dibakar sebelum ditanam.

Turut hadir Timbalan Pengarah SPR Selangor Kamarul Azman Ahmad Sabri dan tujuh wakil calon yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Seramai 60 petugas terlibat dalam kerja pelupusan berkenaan termasuk satu jentera bersama enam anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Pada PRU berkenaan Parlimen Kota Raja dimenangi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara manakala DUN Sentosa milik calon PKR Gunarajah George, Sungai Kandis dimenangi oleh calon PKR Mat Shuhaimi Shafiei dan V Ganabathirau daripada DAP menang di Kota Kemuning.

Kerusi DUN Sungai Kandis bagaimanapun diisytiharkan kosong selepas kematian penyandangnya Mat Shuhaimi pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

SPR telah menetapkan Pilihan Raya Kecil bagi DUN berkenaan diadakan pada 4 Ogos ini dengan i penamaan calon pada 21 Julai. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan

Loading...