Dewan Rakyat Kecoh Anggota Parlimen Keluar Kata Kesat

KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengeluarkan kata-kata kesat…

KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang Anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Episod kekecohan berkenaan bermula sewaktu Bung Moktar bangkit mencelah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang baharu memulakan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018.

Beliau menjelaskan mengenai harga barangan di Pasar Borong Selayang yang menurutnya lebih murah sewaktu dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum diganggu Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) yang bertanya ’bukan kasino ke?’.

Bung Moktar yang tidak berpuas hati dengan soalan berkenaan meminta Willie menarik balik kenyataannya serta menyifatkan beliau tidak layak untuk berada di dalam Dewan Rakyat.

“Biadap. Ini kurang ajar, tarik balik, Yang Berhormat tidak layak duduk sini, samseng. What you want? You nak gaduh dengan saya? f*** you! kau salah orang,” katanya.

Kata kesat Bung Moktar mendapat reaksi ramai Anggota Parlimen PH yang mahu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon menghalau Bung Moktar keluar dari dewan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mencelah berkata Willie telah melanggar Perkara 36 (9) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, yang menyebut bahawa dalam apa-apa perbahasan, sifat dan kelakuan seorang Anggota Parlimen tidak boleh disebut.

Su Keong Siong (PH-Kampar) kemudian bangun mencelah berkata Bung Moktar tidak perlu marah sekiranya beliau tidak buat perkara yang telah disebut Willie.

Mohd Rashid kemudian menangguhkan sesi pagi sidang dewan sebelum meminta Bung Moktar menarik balik perkataan berkenaan selepas sidang dewan bersambung semula pada 2.30 petang.

Bung Moktar akur dengan arahan itu. – BERNAMA

Loading...