Pemuda PAS Kecam K’jaan P. Pinang Gantung Tugas Ahlinya

DEWAN Pemuda PAS Pulau Pinang mengecam tindakan kerajaan negeri itu mengeluarkan Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri (BPPN), Iszuree Ibrahim daripada semua Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), berkuatkuasa semalam.

Ia susulan ucapan tegurannya bagi menambah baik polisi pembangunan rakyat negeri itu dalam Muktamar PAS yang berlangsung di Johor pada 19 September lalu.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah, menyifatkan hukuman ‘gantung tugas dengan pembekuan semua peruntukan’ yang dikenakan terhadap Iszuree sebagai keputusan yang tidak mencerminkan sikap demokratik, berat sebelah & tergesa-gesa.

Ia juga dilakukan tanpa adanya pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dewan Pemuda Pas Kecam DAP P. Pinang Gantung Tugas Ahlinya

Menurut Mohd Yusni, sebarang keputusan perlulah mengambil kira pandangan & keputusan daripada PAS sebelum membuat apa-apa keputusan jika benar semangat kerjasama Pakatan Rakyat antara DAP-PKR-PAS dihormati.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan negeri di bawah DAP menarik balik keputusan tersebut kerana dianggap menutup hak kebebasan bersuara sesama ahli Pakatan Rakyat.

“Sepertimana kami yang telah banyak dan lama bersabar dengan perbezaan pandangan & terbuka menerima kritikan, kecaman, cemuhan, sehingga PAS dituduh sebagai “pengkhianat di Selangor” dari rakan sendiri, maka PAS juga meminta supaya rakan kami dapat berjiwa besar berbuat begitu dan menarik balik tindakan “tidak mencerminkan sikap” ini segera.

“Selaras dengan tema “Memperkukuh Muafakat” yang diketengahkan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia & penegasan daripada Presiden PAS supaya “Terus Beristiqamah” dalam muktamar PAS yang lalu, kami desak supaya isu ini diselesaikan segera sebagai rakan, bukan sebagai lawan!,” tegasnya.

Tambah Mohd Yusni lagi, Iszuree adalah antara ahli majlis yang dianggap mempunyai ‘track record’ paling cemerlang dan tindakan yang diambil oleh kerajaan DAP itu umpama merobek kembali luka yang baru hendak sembuh. – Mynewshub.cc

Leave a Reply